
Wawancara bersama Presiden ASFON WP – En. Yahya Bin Osman tentang FOTOGRAFI PERKAHWINAN
Fotografi adalah merupakan proses membuat lukisan atau rakaman imej dengan menggunakan cahaya. Definasinya pula tidak meletakkan ia ke dalam mana-mana kategori khusus kerana ia boleh dianggap sebagai bersifat dokumentari atau seni atau kedua-duanya sekali – bergantung kepada tujuan ianya digunakan. Fotografi sememangnya tidak asing lagi dalam kehidupan kita seharian sehinggakan aplikasinya telah dipermudahkan ke telefon bimbit yang boleh dibawa ke mana sahaja kita pergi.
Di dalam industri perkahwinan, fotografi memainkan peranan penting sehinggakan perkhidmatan fotografi adalah merupakan perkhidmatan yang perlu ada di dalam senarai perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap bakal pengantin.
Ikuti temubual PCM bersama En. Yahya Bin Osman, Presiden Angkatan Senifoto Wilayah Persekutuan (ASFON), sebuah persatuan fotografi yang ternama di Malaysia.
Sebagai pengerusi persatuan ASFON WP, apa pendapat saudara mengenai industri perkahwinan dan fotografi?
Pada saya fotografi untuk industri perkahwinan adalah besar tetapi selalu dipandang rendah oleh orang ramai. Berbanding dengan bidang lain, keperluan fotografi perkahwinan adalah lebih tinggi dan ianya berlaku hampir setiap masa dan tidak pernah putus. Selagi ada manusia, dan selagi ada agama, maka selama itulah perkahwinan akan wujud yang memerlukan jurugambar merakamkan satu-satunya detik yang paling berharga ini.
Pada satu ketika waktu dulu, ASFON WP sendiri pernah dikenali sebagai persatuan jurugambar perkahwinan kerana ramai diantara ahlinya menawarkan khidmat fotografi perkahwinan.
Bagaimana pendapat saudara mengenai status atau imej jurugambar perkahwinan yang agak dipandang rendah berbanding dengan jurugambar bidang lain?
Pada pendapat saya, sebenarnya yang meletakkan dan merendahkan status jurugambar perkahwinan ini adalah jurugambar itu sendiri. Kebanyakkan jurugambar sekarang tidak mempunyai wawasan yang jelas. Sepatutnya sebagai seorang jurugambar haruslah mempunyai wawasan agar 20 tahun akan datang dia tidak lagi duduk di takuk yang sama, tetapi harus lebih berjaya seperti mempunyai sebuah studio fotografi perkahwinan sendiri yang boleh menawarkan perkhidmatan one-stop-centre.
Antara sebab lain ialah kekurangan ilmu dan lemah dari aspek perniagaan dan pemasaran. Disebabkan itu, ada di antara mereka meletakkan harga jauh rendah kerana bimbang tidak dapat kerja. Akibatnya mutu hasil kerjanya tidak kemana kerana tidak mahu buat kerja lebih untuk bayaran yang rendah.
Sungguhpun fotografi perkahwinan ini agak dipandang rendah, tetapi mengapa pula masih ramai jurugambar memilih bidang ini?
Fotografi industri perkahwinan lebih digemari oleh kebanyakkan jurugambar atas sebab waktu atau masa kerjanya adalah pada kebiasaannya jatuh pada hari cuti atau hujung minggu. Oleh itu ramai jurugambar yang mempunyai kerja sepenuh masa dalam bidang yang lain akan membuat kerja ini secara sambilan.
Adakah ASFON WP mempunyai sebarang usaha dalam meningkatkan imej fotografi perkahwinan ini?
Sebenarnya bidang fotografi ini sangat luas dan merangkumi berbagai industri. ASFON WP sendiri mempunyai ramai ahli yang berpengalaman yang terdiri dari pelbagai industri. Salah satu daripadanya ialah industri perkahwinan. ASFON WP sedang merangka sebuah perancangan menaikkan taraf jurugambar industri perkahwinan dengan menawarkan beberapa kursus usahawan dan perniagaan fotografi. Di dalam kursus ini, seseorang yang berminat untuk menjadi jurugambar akan dibimbing dari seawal mula berniaga sehinggalah ke tahap mutu hasil kerjanya. Penekanan usahawan ini diutamakan kerana ianya amat penting bagi seseorang jurugambar yang ingin lebih berjaya di dalam bidang ini. Jika kita lihat situasi sekarang, ramai jurugambar yang masih tidak sedar terutamanya aspek pemasaran ? tiada laman web, tiada contoh kerja yang boleh dipasarkan dengan sempurna. Mereka ini, walaupun mempunyai mutu kerja yang bagus, akan susah hendak terus bersaing dengan yang lain.
Saudara bercakap mengenai kaitan jurugambar dengan usahawan, adakah profession jurugambar ini menguntungkan?
Pendapatan seorang jurugambar sememangnya lumayan. Sebagai contoh, jika mereka menjaga mutu dan kualiti hasil kerja mereka, dengan mudah mereka boleh mandapat keuntungan bersih sekurang-kurangnya seribu pada setiap minggu. Ini bermakna pendapatannya adalah 4 ribu sebulan dan lebih menarik lagi mereka hanya kerja pada hujung minggu sahaja.
Adakah ASFON WP memberi bimbingan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini?
ASFON menawarkan Bengkel fotografi perkahwinan ? mengajar apa yg penting untuk dirakam dan diperlihatkan. Fotografi perkahwinan bukanlah semata-mata mengambil pengantin di atas pelamin, tetapi merupakan sebuah rakaman penceritaan dengan persembahan yang menarik. Ini memerlukan ilmu pengetahuan yang boleh ditimba dari tenaga pengajar dan ahli persatuan yang berpengalaman.
Boleh saudara memberikan sedikit tips kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang fotografi ini?
Dunia fotografi sekarang semakin mencabar. Anda memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang cukup terutamanya untuk bersaing di dalam industri ini. Sedikit tips yang boleh saya beri ialah seseorang jurugambar memerlukan kemahiran pengendalian kamera, pengetahuan merangka subjek dan memahami gambar untuk memahami perasaan. Gunakan prinsip tigasegi: mahirkan tangan yang memegang kamera, gunakanlah otak yang mencari objek, dan gunakanlah hati untuk menghayati gambar yang bakal diambil.
Bagaimana pula dengan tips kepada bakal mempelai?
Bakal mempelai sepatutnya perlu berjumpa dengan 5 hingga 6 jurugambar untuk melihat contoh hasil kerja mereka. Bandingkan dan yang paling penting mengenal pasti gaya fotografi yang disukai. Setiap jurugambar mempunyai keistimewaan dan gaya mereka tersendiri. Adalah lebih mudah untuk membuat pilihan setelah mengetahui gaya mereka dan keputusan hasil kerja nanti sudah pasti menepati citarasa anda!
dipetik dari http://perkahwinan.com.my/main/Industri/?Sub=Article&id=196













